Wednesday 22 February 2012

DAURAH TARBIAH BULANAN PAS KAWASAN MERBOK BERLANGSUNG DGN PENUH MOTIVASI

Hampir 100 orang ahli dan aktivis PAS telah menghadiri Daurah Tarbiah PAS yang diadakan di markas PAS Bukit Selambau pada 22 hb Feb 2012. Penceramah ,Ust Lutfi Bin Ariffin telah membentangkan kertas kerja bertajuk "Ke Arah Kemenangan". Antara isi kandung pengisian cramah beliau memperkatakan di antara asas kekuatan yang perlu dimiliki dan difahami oleh ahli-ahli an aktivis parti yang memperjuangkan Islam. Antaranya 1)Liqa' 2) Thubut 3)Zikir 4)Taah 5) Munazaah.

Tuesday 21 February 2012

DAURAH TARBIAH BULANAN PAS KAWASAN MERBOK BULAN FEB 2012

Semua ahli,penyokong,aktivis serta pemimpin-pemimpin PAS semua peringkat di seluruh kawasan Merbok di jemput ke Program Daurah tarbiah Bulanan PAS kawasan Merbok pada malam ini 22 hb Feb 2012 bertempat di Markas PAS cawangan Pekan Bukit Selambau bermula dengan solat isya berjamaah.Penceramah:Ustaz Lutfi bin Ariffin,AJK DUPNK.

Peranan Tasawwuf Dalam Memelihara Identiti Agama Di Mesir

Oleh: al-Imam Syeikh ‘Ali Jum‘ah, Mufti Besar Mesir
Terjemah: al-Faqir Mohd. Khafidz Soroni
Sumber: Website Syeikh ‘Ali Jum‘ah



Tasawuf muncul untuk meletakkan para pengikutnya di tengah-tengah isu-isu sosial dan juga politik dalam masyarakat Islam, bukannya supaya mereka hanya duduk secara berasingan jauh daripada isu-isu berkenaan. Bahkan ia menggembleng usaha menyediakan mereka untuk berkhidmat terhadap agama, ummah dan juga tanah air.
Justeru, tasawuf mahupun ahli sufi tidak hanya setakat terhenti pada keadaan berzikir, zuhud dan beribadat secara individu ataupun secara jemaah, bahkan tasawuf telah membentuk institusi-institusi besar yang mempunyai jaringan di seluruh dunia dan berperanan dalam bidang pembangunan, politik serta sosial. Para ahli sufi di sepanjang zaman telah melahirkan para ulama, para pahlawan dan para idola yang mana sejarah Islam terisi dan dipenuhi dengan mereka, berdasarkan kepada populariti mereka yang masyhur dan kecintaan majoriti umat Islam kepada mereka. Mereka tidak mencapai kedudukan dan martabat sedemikian melainkan kerana tauladan dan tingkah laku yang baik menurut manhaj yang lurus lagi kukuh berdasarkan al-Quran dan Sunnah, menghormati para ulama ummah, serta berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan kesatuan mereka.
Oleh itu, mereka tidak menghadkan diri hanya kepada jihad nafsu semata-mata, sepertimana yang didakwa oleh orang yang tidak mengenal mereka, akan tetapi mereka menggabungkan kepada kekuatan tersebut dalam memerangi golongan musuh dan golongan yang zalim. Antara model-model mereka itu ialah Imam al-Ghazali (505H), Muhyiddin Ibn ‘Arabi (638 H), al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam (660 H) dan Imam al-Nawawi (676 H). Manakala dalam satu peristiwa sejarah yang belum jauh, para ahli sufi telah membawa panji-panji revolusi kebangsaan di Mesir dalam menghadapi pemerintah-pemerintah kerajaan Mamalik, di mana Imam al-Dardir (Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir al-Maliki, w. 1201H), seorang tokoh sufi besar telah mengetuai suatu revolusi besar menentang golongan Mamalik sebelum tercetusnya Revolusi Perancis dalam jarak tempoh tiga tahun.Ia telah memaksa golongan Mamalik mengakui bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan, serta berjaya menghalang mereka daripada mengenakan cukai-cukai baru melainkan dengan keputusan rakyat, dengan pengiktirafan penuh terhadap kebebasan dan maruah mereka.

Tasawuf mempunyai dasar-dasar dan prinsip-prinsip yang utama, iaitu: berpegang kepada kitab Allah, dan mengikuti sunnah Rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti/menganiaya, menjauhi maksiat, bertaubat, dan menunaikan hak-hak. Tasawuf terbentuk dengan bersabar atas perintah-perintah dan yakin pada hidayah. Firman Allah Taala:

(وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ) [السجدة:24]
Terjemahan: “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami” [al-Sajdah: 24].


Para ahli sufi telah menyatakan bahawa: Tidak layak untuk memimpin di jalan ahli sufi ini melainkan orang yang luas pengetahuannya dalam ilmu syariat serta mengetahui yang mantuq dan mafhum, yang khas dan ‘am, serta yang nasikh dan mansukh, dan berpengetahuan luas dalam bahasa Arab sehingga mengetahui soal majaz, isti’arah dan lain-lainnya, iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Arif biLlah Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H) dalam mukadimah kitab beliau al-Tabaqat al-Kubra (ms. 5). Beliau juga berkata: Sesungguhnya jalan kaum sufi ini diacuankan di atas al-Quran dan Sunnah sepertimana pengacuanan emas dan permata, maka si-saliknya memerlukan kepada neraca syarak dalam setiap pergerakan dan juga perhentian (Lata’if al-Minan wa al-Akhlaq, 1/2).


Ahli sufi telah berkembang pesat di Mesir atas dasar kesederhanaan dan keseimbangan. Ia telah diringi dengan penubuhan khanqah (ribatatau tempat berhimpun ahli sufi) pertama di Mesir dalam era al-Nasir Salah al-Din al-Ayyubi (532 - 589 H). Maka berkembanglah sesudahnya banyak khanqah dan madrasah sufi di seluruh Mesir. Ia telah berperanan dalam melahirkan murid-murid dan para pelajar yang bersiap sedia dari segi rohani, tarbiah dan juga akhlaknya untuk menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, politik dan sosial yang melanda masyarakat Islam dari semasa ke semasa.
Berpegang dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam, para ahli sufi di Mesir berada jauh daripada sifat melampau batas, mempunyai ciri keseimbangan dan juga jauh dari sikap keterlaluan. Tariqat-tariqat sufi di Mesir ini disatukan oleh suatu ciri khas, iaitu memberi tumpuan terhadap aspek ilmu dan juga akhlak.
Meskipun tasawuf di Mesir memiliki kehidupan rohani yang khusus, namun ia juga memberi pengaruh khusus ke atas banyak aspek kehidupan yang berada di sekelilingnya. Ia menjadi pendorong untuk terus berpegang kepada tasawuf dalam berdakwah kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia turut membantu ahli sufi dengan kuat dalam membentuk identiti agama yang sederhana di Mesir. Kaedah yang digunakannya ialah menyenangkan mesej yang dibawa dan memudahkan penyertaan di bawah panji-panjinya dalam mengharungi pelbagai tribulasi yang dihadapi oleh Mesir dalam tempoh-tempoh masa yang berbeza, di mana rumah-rumah kebajikan, zawiyah-zawiyah dan khanqah-khanqahmenjadi tempat perlindungan yang selamat untuk golongan yang tertindas, golongan fakir-miskin dan juga golongan lemah. Pusat-pusat tersebut juga telah menjadi penyuluh agama yang moderat, yang mampu mengeluarkan muslim yang beramal dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya untuk berjihad demi negara dan agamanya. Dari situ, para ahli sufi telah membentuk sebahagian besar suasana agama di Mesir yang bersifat jauh dari ciri-ciri melampau dan keras.
Tasawuf juga berkait dengan mencintai Ahl al-Bayt, mengadakan majlis-majlis mawlid dan halaqah-halaqah zikir yang telah membantu untuk menarik murid-murid mengasihi masjid dan juga Ahl al-Bayt. Ia merupakan satu aspek yang telah menyumbang dalam membangunkan Islam yang sederhana dan juga membentuk identiti agama. Kecintaan ini tidak sekadar dikongsi oleh ahli sufi dan golongan Syiah semata-mata, bahkan semua umat Islam baik ahli Sunnah dan juga golongan Syiah berkongsi sama dalam kecintaan mereka terhadap Ahl al-Bayt r.a.


Ahli sufi telah dan masih terus menjadi fungsi yang aktif dan penting dalam masyarakat Islam di Mesir yang turut mendorong tariqat-tariqat sufi dalam setiap zaman supaya terus berpaksi pada usul-usul tasawuf dan berpegang kuat dengannya, serta kembali kepada peranan utamanya dalam berdakwah kepada Allah dan memimpin masyarakat dari segi agama, sosial dan juga politik, sebagaimana peranannya dahulu di sepanjang sejarahnya di Mesir. Tidak pun memudaratkannya kemunculan beberapa kumpulan dari kalangan orang-orang yang malas dan jahil yang hanya mengaut rezeki di sebalik dakwaan mereka sebagai ahli sufi dan sandaran diri mereka kepadanya. Hakikatnya, jalan tasawuf adalah jelas lagi kukuh yang tidak akan menyimpang dari jalan Allah yang lurus, meskipun menerima serangan golongan yang memusuhinya dan juga tuduhan golongan yang bermotif terhadapnya

Wednesday 15 February 2012

Pasca-Islamisme : Racun Halus Musuh Gerakan Islam

Pasca-Islamisme : Racun Halus Musuh Gerakan Islam .
Khamis, 16 Februari 2012 12:08 Webmaster DUPP .Kuala Lumpur, 16hb Febuari 2012. Idea "Pasca Islamisme" adalah racun halus musuh-musuh gerakan Islam yang cuba diserapkan dalam pemikiran ahli-ahli gerakan Islam pada hari ini.

Demikian tegas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali At-Takiri ketika mengulas tentang masa depan gerakan Islam di Malaysia pada hari ini.

Menurut beliau, "Pasca islamisme” cuba menjustifikasikan kesedaran masyarakat Islam pada hari ini untuk menentang kezaliman pemerintah umat Islam berpunca daripada kesedaran umum masyarakat Islam hasil tekanan ekonomi dan sosial yang menghimpit kehidupan mereka, bukannya berpunca dari kesedaran aqidah Islam yang ditunjangi dan digerakkan oleh gerakan Islam sejak berdekad yang lalu.

Ujar beliau lagi, di samping itu sebenarnya istilah "Islamisme" itu sendiri bercanggahan dengan syara', ideanya juga adalah bercanggah dengan sunnah perjuangan Islam yang telah digarap oleh al-Quran dan Hadis.

Kata beliau, kesedaran politik Islam hari ini adalah hasil perjuangan panjang oleh gerakan Islam.

“Kesedaran ini perlu ditunjangi oleh aqidah Islam yang mengajar ummat tiga perkara asas. Pertamanya, bahawa penentangan kepada kezaliman politik adalah tuntutan beragama bukannya tuntutan tekanan ekonomi dan sosial kehidupan semasa”

“Keduanya, bahawa punca kepada berlakunya kezaliman politik adalah kerana para pemerintah tidak memerintah menurut prinsip pemerintahan Islam.”

“Ketiga, bahawa sekiranya pemerintahan jahiliyyah yang telah menzalimi rakyat dijatuhkan dan diganti juga oleh pemerintahan jahiliyah baru yang tidak berprinsipkan islam, akhirannya akan membawa kepada kezaliman politik juga,” ujar beliau lagi.
.
 

blogger templates | Make Money Online